KUALA LUMPUR: Seramai lebih 2,200 bakal jemaah Haji Malaysia mengambil peluang melengkapkan ilmu di dada sebelum berangkat ke Tanah Suci, dengan menghadiri Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Masjid Wilayah, di sini.

Ia diadakan selama satu setengah hari berakhir hari ini.

Antara lain, kursus anjuran Tabung Haji (TH) itu disifatkan bakal jemaah sebagai platform atau medan ulangkaji terakhir sebelum mereka semua menjadi tetamu Allah nanti.

Kalangan jemaah wanita yang menjadi peserta kursus misalnya, senada bahawa banyak manfaat dan pengetahuan ditimba sepanjang mengikuti program berkenaan.

Ini turut diakui jemaah haji wanita pertama kali, Datin Rosyidah Muhalim yang berkongsi bahawa dia membuat keputusan yang betul kerana tanpa gagal menyertai kursus haji anjuran TH sejak Oktober itu.

"Syukur saya panjatkan kepada Allah kerana saya dijemput menjadi tetamu Allah bagi musim haji tahun ini. Saya juga bersyukur bahawa saya boleh mencuri masa sibuk saya menyertai tiga kursus sebelum ini, Kursus Asas, Kursus Intensif dan kali ini, Kursus Perdana Haji.

"Semasa Kursus Perdana ini, banyak ilmu yang diperoleh, memandangkan adanya praktikal untuk ibadat Haji seperti Wukuf, Melontar di Jamrah selain Tawaf dan Sa'ie. Ini memberikan kita bayangan situasi sebenar menjadi jemaah haji demi memburu haji yang mabrur nanti," kata Rosyidah kepada Astro AWANI.

Dari kiri, Salwah Sa'dom, Datin Rosyidah Muhalim, Noraisyah Ahmad Tajuddin. - Foto Astro AWANI

Bagi seorang lagi jemaah, Noraisyah Ahmad Tajuddin pula, kursus yang dihadirinya menjawab sebahagian besar kemusykilan tentang ilmu haji khususnya tentang fiqh wanita.

"Penerangan yang jelas dan terperinci diberikan pembimbing haji semasa kursus berlangsung satu setengah hari. Persoalan tentang haid, aurat dan ibadat-ibadat sunat diterangkan dengan baik oleh ustaz dan ustazah dalam sesi taklimat yang diadakan," ujarnya.

Bagi seorang lagi jemaah wanita, Salwah Sa'dom, Kursus Perdana Haji dan dua kursus sebelumnya membekalkan dirinya dengan persiapan fizikal dan mental untuk menjadi duyufurrahman.

"Saya belum pernah gagal daripada menghadiri kursus haji, sejak Oktober lepas lagi, saya meluangkan masa untuk menimba ilmu di kursus yang dianjurkan.

"Saya tahu, banyak yang perlu dipelajari dan ditimba tentang haji ini. Itu sebabnya kursus perlu dihadiri, memandangkan ia adalah platform untuk mendapatkan ilmu itu," kata Salwah yang tetap bimbang dengan beberapa cabaran menanti jemaah di sana seperti kesesakan luar biasa, cuaca panas dan perubahan persekitaran.

Jemaah haji wanita sifatkan Kursus Perdana Haji sangat bermanfaat dalam membekalkan ilmu sebelum mereka menjadi tetamu Allah di Tanah Suci nanti. - Foto Astro AWANI

Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan yang berlangsung pada 20-21 April itu disempurnakan perasmiannya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Selain Wilayah Persekutuan, TH menyediakan 16 lagi lokasi di seluruh negeri untuk penganjuran Kursus Perdana Haji yang diadakan secara berperingkat bermula 20 April sehingga 5 Mei ini.

Di Selangor pula, lokasi penganjuran Kursus Perdana ialah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dan akan diadakan pada 27 dan 28 April nanti.

Antara bakal jemaah wanita yang hadir di Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan berlangsung di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur, berakhir hari ini. - Foto Astro AWANI

Kursus Perdana Haji turut diadakan di negeri di utara, timur dan selatan serta Sabah dan Sarawak.

Seramai 31,600 bakal haji Malaysia akan menunaikan haji pada tahun ini dengan penerbangan pertama dijadual berlepas ke Arab Saudi pada 9 Mei ini.